Tuesday, 25 December 2012

NURULHUDA MOHD SUKRI
MP101484


ULASAN DAN KRITIK ARTIKEL
(Sumber: Christina Boateng (2012). Restructuring Vocational and Technical Education in Ghana: The Role of Leadership Development. International Journal of Humanities and Social Science;Vol. 2. No. 4 [Special Issue – February 2012].)


Penstrukturan Semula Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Ghana:
Peranan Pembangunan Kepimpinan.


Pendidikan Teknikal dan Vokaisonal (PTV) adalah merujuk kepada proses pendidikan yang melibatkan kajian teknologi dan sains yang berkaitan serta pemerolehan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang bertujuan untuk membangunkan potensi individu sebagai modal insan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kehidupan sosial. Namun, kesan globalisasi telah mengubah konteks ekonomi, teknologi, demografi, masyarakat dan pendidikan di dalam pelaksanaan PTV. Perubahan ini membawa satu cabaran besar kepada penyampaian PTV dalam memastikan kesesuaian programnya menepati kehendak industri.
Artikel ini mengulas tentang PTV di Ghana yang sedang menjalani pengstrukturan semula bagi meningkatkan kualiti peruntukan dan hasil pembelajaran untuk memastikannya relevan dengan dunia pekerjaan. Kejayaan potensi pembaharuan ini akan bergantung kepada pentadbir dan pengurus yang bertanggungjawab untuk menjana idea dan merangka dasar, serta mengubah dasar ke dalam amalan. Dalam hal ini, kepimpinan yang berkesan menjadi satu pemboleh ubah penting yang perlu dipertimbangkan dalam persekitaran pendidikan vokasional yang baru. Dalam artikel ini, PTV dinilai secara umum dengan melihat cabaran yang dihadapi dari segi pelaksanaannya. Penulis menjadikan sistem PTV di Ghana sebagai fokus perbincangan dengan menganalisis secara kritikal sistem PTVnya dan mencadangkan cara penstrukturan semula sistem pendidikan ini untuk pengalaman pengajaran dan pembelajaran berkesan.
PTV di Ghana menghadapi cabaran berikutan pengabaian subsektor PTV dalam sistem pendidikan awam yang dianggap lebih mahal berbanding dengan pendidikan umum. Ini telah menyebabkan kekurangan kemudahan infrastruktur dan institusi latihan, selain kandungan latihan yang tidak lagi relevan dengan pasaran semasa. Ini secara langsung telah menjejaskan kualiti dan kuantiti sumber tenaga kerja yang terlatih.
Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh PTV di Ghana adalah persepsi negatif bahawa pendidikan aliran ini adalah pendidikan kelas kedua dan laluan kerjaya bagi pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang rendah. Selain itu isu-isu seperti kemelesetan ekonomi, peningkatan jumlah golongan belia yang kurang berpendidikan dan menganggur, ketidaksamaan jantina, perpecahan dalam sistem pendidikan serta mekanisme penilaian dan pemantauan yang lemah turut menjadi cabaran dalam pelaksanaan pendidikan aliran ini.
Penstrukturan semula PTV melalui Wawasan 2020 Ghana dan Perancangan Strategik Pendidikan 2003-2015 adalah usaha yang dilakukan bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi. Beberapa keutamaan diberi perhatian seperti perubahan dalam dasar pendidikan, menaik taraf dan membina institusi PTV, mengkaji semula dan mengemaskini program PTV, menubuhkan Lembaga Latihan Perantisan Negara dan Majlis Pendidikan Teknik dan Vokasional Kebangsaan, meningkatkan hubungan dengan pihak industri serta yang paling utama mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan pengurusan di peringkat institusi dan kebangsaan.
Pembangunan kepimpinan dalam PTV dilihat sebagai elemen yang penting dalam membawa pendidikan ini seiring dengan perubahan persekitaran pendidikan dan ekonomi yang pesat. PTV memerlukan pemimpin yang boleh mengorganisasi arahan dan mempengaruhi orang lain untuk mempercayai dan mengikuti pimpinannya. Keperluan ini jelas diberi penekanan dalam penstrukturan semula pembangunan kepimpinan PTV di Ghana. Keupayaan PTV bersaing dalam era globalisasi adalah bergantung kepada kualiti kepimpinannya. PTV memerlukan pemimpin yang cekap dan berkesan, bijak dan kreatif dalam menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Pemimpin juga perlu memberikan rangsangan untuk setiap perubahan dalam PTV.
Sistem PTV di Ghana memerlukan pemimpin yang memahami skop PTV yang luas, mahir dalam penyampaian, berkolaborasi dengan pihak kerajaan, pendidikan dan industri untuk menubuhkan perkongsian yang akan meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil PTV. Mereka juga perlu berupaya untuk menghubungkan dunia dalaman PTV dengan dunia global dan pasaran kerja. Sistem ini memerlukan pemimpin berkualiti yang boleh membentuk matlamat, mengutamakan kursus untuk tindakan, mencipta idea-idea baru, visi dan dasar serta menyediakan hala tuju untuk memastikan reformasi dalam PTV membawa kepada penyampaian pendidikan yang berkesan dan berdaya maju.
Menurut Abdullah (2004), kepemimpinan boleh menentukan sama ada satu-satu entiti itu berjaya atau gagal. Kepemimpinan yang bijak dapat memberi wawasan dan dorongan yang baik kepada kakitangan dan dapat menggembleng seluruh tenaga kepada sesuatu pertubuhan. Selain itu, kepimpinan yang berwibawa dapat memberi inpirasi dan dorongan yang baik kepada kakitangan dan dapat menggembleng seluruh tenaga pertubuhan untuk bergerak pantas ke arah matlamat yang telah ditetapkan. (http://www.miti.gov.my/ucapanpm 5inisiatif2004a.html)
Pengurusan organisasi dan perkhidmatan sememangnya berkait rapat dengan kemantapan dan kehebatan sistem PTV di dalam sesebuah negara. Ini kerana sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran adalah nadi penggerak utama dan ianya adalah hasil dari sistem pendidikan yang mantap dan baik. Secara tidak langsung kemampuan sumber manusia di dalam pengurusan organisasi dan perkhidmatan telah mengaitkan sistem PTV dengan corak kemajuan di dalam sistem pengurusan dan perkhidmatan bagi sesebuah organisasi atau negara. Oleh yang demikian, jika negara ingin melihat kemajuan di dalam sistem pengurusan organisasi dan perkhidmatan maka perlulah ada satu gerakan secara tersusun dan bersepadu disemua peringkat untuk memperkasakan sistem PTV sedia ada.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...