NURULHUDA MOHD SUKRI
MP101484
ULASAN DAN KRITIK
ARTIKEL
(Sumber: Moses
O. Oketch, Andy Green & John Preston. (2009). Trends and Issues in TVET
across the Globe.)
ISU DAN TREND DALAM PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIK DAN VOKASIONAL MERENTASI
DUNIA
Pendidikan dan latihan teknik dan
vokasional merupakan salah satu cabang pendidikan yang ditawarkan di kebanyakan
negara di dunia bagi memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai
kecenderungan kepada pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi keperluan
tenaga kerja profesional dan separa profesional.
Pendidikan dan latihan dalam teknik dan vokasional ini membantu pelajar
tercicir dalam pelajaran bersifat akademik tetapi berpotensi menjadi insan yang
cemerlang dalam bidang kemahiran dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara
secara keseluruhannya. Di kebanyakan negara, pendidikan aliran ini
ditumpukan bagi melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak industri. Walaupun
tujuan pelaksanaannya adalah sama tetapi cara pelaksanaannya agak berbeza dan
sering mengundang pelbagai isu seperti kesesuaian program latihan dengan
keperluan pasaran, polisi, dana dan perubahan teknologi.
Artikel bertajuk “Trends
and Issues in TVET across the Globe” yang ditulis oleh Moses O. Oketch,
Andy Green dan John Preston mengulas tentang trend dan isu dalam pelaksanaan
pendidikan dan latihan teknik dan vokasional di beberapa negara di dunia secara
umum dan menerangkan trend dan isu di Afrika sebagai contoh. Kesan global daripada transformasi
ekonomi adalah antara isu yang diperbahaskan. Permintaan global terhadap tenaga
kerja berkemahiran bagi memenuhi permintaan pasaran telah meningkat dengan
ketara kesan kemajuan sains dan teknologi. Globalisasi memberi kesan kepada
perubahan pasaran dalam meningkatkan persaingan ekonomi global. Kawasan
yang berekonomi global seperti Amerika
Utara, Eropah dan Asia Timur mengalami peningkatan ketara dalam permintaan
tenaga kerja berkemahiran berbanding
negara-negara sedang membangun seperti Afrika. Kebanyakan negara-negara
maju menjadikan ekonomi ‘berkemahiran tinggi’ sebagai dasar polisi untuk
mengekalkan kemakmuran melalui peralihan ekonomi dengan memberi nilai tambah
kepada kemahiran tinggi di bidang pengeluaran dan perkhidmatan. Negara-negara perindustrian
baru menggubal dasar jangka panjang untuk menggalakkan ekonomi berkemahiran
tinggi dan berasaskan pengetahuan selain penyelenggaraan modal insan.
Kemajuan teknologi
dan perubahan corak organisasi kerja mengubah permintaan terhadap tenaga kerja.
Kemahiran teras utama dan kemahiran generik seperti keupayaan berkomunikasi
dengan berkesan, penguasaan pelbagai bahasa, kecekapan asas dalam penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran
kerja sepasukan dan semangat untuk belajar secara berterusan adalah ciri modal
insan yang ingin dibentuk. Perubahan dalam teknologi dan organisasi kerja ini
telah membawa kepada permintaan yang lebih luas terhadap pendidikan dan latihan
teknik dan vokasional. Trend ini dapat dilihat dalam penciptaan program teknik
dan vokasional dengan kandungan kurikulumnya dipertingkatkan seperti baccalaur'eat professionnel di Perancis
dan pembangunan program vokasional, seperti General
National Vocational Qualification (GNVQ) di England. Sekolah vokasional di
Jepun, Republik Korea dan Thailand menawarkan latihan vokasional di peringkat
awal yang biasanya melibatkan kira-kira 30% hingga 50% daripada masa kurikulum
yang dikhaskan kepada pelbagai subjek pendidikan umum.
Perbezaan ketara terhadap peruntukan/dana bagi pendidikan dan
latihan teknik dan vokasional di kebanyakan negara turut menjadi isu.
Negara-negara kurang maju menghadapi pelbagai masalah dalam menyalurkan
peruntukan untuk program teknik dan vokasional berbanding negara-negara maju.
Di antara masalah yang dikenalpasti adalah kekurangan kewangan awam untuk
infrastruktur fizikal dan peralatan; kekurangan tenaga pengajar terlatih;
masalah komunikasi dan penyelarasan;
infrastruktur ICT yang tidak mencukupi; keupayaan sistem yang tidak
mencukupi dari segi agensi perancang pusat penyelidikan dan pembangunan
keupayaan, badan penetapan standard dan sebagainya; kekurangan kewangan dan
keupayaan untuk menjalankan penyelenggaraan rutin serta pencegahan loji dan
peralatan fizikal. Selain itu, terdapat beberapa halangan yang mengekang
pembangunan pendidikan aliran teknik dan vokasional di negara-negara ini
seperti kadar buta huruf yang tinggi, kekurangan sumber kewangan, maklumat
program yang terhad dan sikap tradisional yang mengekang penyertaan wanita
dalam aliran teknik dan vokasional.
Secara keseluruhan,
artikel ini tidak mengupas isu dan trend dalam pendidikan dan latihan teknik
dan vokasional secara menyeluruh merentasi negara. Beberapa isu seperti peranan
pendidikan dan latihan teknik dan vokasional bagi pembangunan lestari;
transformasi pendidikan dan latihan teknik dan vokasional untuk pembelajaran
sepanjang hayat serta kehidupan dan kerjaya yang lebih baik boleh dihuraikan
untuk pembacaan dan kajian yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment