Sunday, 6 January 2013

ULASAN ARTIKEL 2 Oleh Nur Hidayah Ismail


ULASAN ARTIKEL 2
Globalisation and TVET in Africa: Challenges and Opportunities, Implications of Globalisation for TVET Curriculum Design by Gabriel S. Konayuma. 2007.

Artikel yang ditulis oleh Gabriel S. Konayuma bertajuk “Implications of Globalisation for PTV Curriculum Design” mengulas tentang cabaran globalisasi yang memberi implikasi atau kesan terhadap reka bentuk dan penyampaian kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PTV) khususnya di negara-negara Afrika. Dalam artikel ini, fokus utama adalah implikasi globalisasi terhadap reka bentuk kurikulum dan metodologi latihan PTV dengan mengambil contoh reka bentuk kurikulum PTV di Zambia dan negara-negara di wilayahnya. Kurikulum ini dibentuk untuk membangunkan bidang latihan sebagai sumber pendapatan dan meningkatkan kemahiran dalam program-program seperti pembinaan, rekaan dan jahitan, teknologi maklumat dan komunikasi, pertukangan kayu dan perabot, hospitaliti dan pelancongan.
           
            Merujuk artikel ini, globalisasi bermaksud pertumbuhan pesat yang meningkatkan pergerakan barang, perkhidmatan, kewangan, informasi serta penyebaran demokrasi dan perjanjian terhadap persekitaran dan standard kehendak manusia. (Regan, 2002:224). Globalisasi juga didefinisikan sebagai peningkatan perhubungan manusia dan tempat hasil daripada kemajuan pengangkutan, komunikasi dan teknologi maklumat yang menyebabkan penumpuan ke atas politik, ekonomi dan budaya. Dalam hal ini, globalisasi banyak memberi implikasi secara langsung dan tidak langsung dalam reka bentuk kurikulum PTV. Globalisasi seharusnya direka bentuk agar lebih fleksibel mengikut masa dan situasi dan disesuaikan mengikut corak masyarakat sesebuah Negara dan selari dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),  isu-isu sampingan globalisasi seperti penyakit berjangkit; HIV dan AIDS, isu jantina, ketidakupayaan atau kecacatan dan alam sekitar serta isu ketidaksamaan gender.
           
            Merujuk artikel ini, implikasi dan kesan globalisasi di Afrika difokuskan kepada kepada reka bentuk kurikulum PTV di Zambia. Secara umum implikasi globalisasi yang dinyatakan mempunyai persamaan dengan negara-negara lain di dunia. Dalam konteks PTV di Malaysia, implikasi globalisasi telah mempengaruhi perkembangan dan perlaksanaan kurikulum PTV. Impak globalisasi merupakan antara faktor utama yang menentukan perubahan corak pendidikan di Malaysia. Kebaikan dan keburukan globalisasi ke atas corak pendidikan bergantung kepada penerimaan individu, masyarakat dan negara. Dalam konteks pendidikan khususnya PTV, impak globalisasi dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti perkembangan bidang sains dan teknologi, sosial, kemajuan ekonomi, dasar pendidikan terbuka dan sebagainya.

Pengstrukturan semula kurikulum PTV menerusi Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang akan dikuatkuasakan pada tahun 2013 dilihat tepat pada masanya bagi mengangkat martabat pendidikan teknikal dan vokasional sebagai aliran pendidikan pilihan selaras dengan perkembangan global. Kemajuan pesat dalam sektor industri negara yang rancak sekarang pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir secukupnya tidak dapat disediakan. Untuk itu, kualiti kurikulum perlu dipertingkatkan dan disesuaikan dengan keperluan industri. Justeru dalam konteks ini, transformasi PTV akan membabitkan dua aspek penting iaitu Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan Kolej Vokasional (KV) sebagai laluan dalam usaha mencapai matlamat berkenaan. Kurikulum ini akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri. Selain itu, penglibatan sektor swasta (industri) turut dipelawa bagi menjayakan transformasi ini dengan memberi pendedahan dan maklumat secara langsung berkaitan industri semasa kepada pelajar. Sektor ini juga digalakkan untuk membangunkan institusi vokasional berdasarkan kurikulum yang dipersetujui bagi menampung pelajar berpotensi tajaan kementerian.

PTV dalam era globalisasi dan k-ekonomi perlu berubah selari dengan keperluan era yang dibantu kecanggihan teknologi kerana ia adalah gabungan pendidikan dan latihan. PTV perlu memasuki arus perdana agar dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai kemahiran sosial, pembelajaran, pengurusan dan keusahawanan seperti sistem pendidikan lain.
           
Dalam hal ini, perkembangan reka bentuk kurikulum PTV kesan daripada implikasi globalisasi yang berlaku di Zambia seperti yang dinyatakan penulis tidak banyak bezanya dengan konteks PTV di Malaysia. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi mewujudkan dunia tanpa batasan dan selari dengan kepesatan teknologi ini. Perkembangan ekonomi dunia juga memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi dan dapat bersaing dengan kehendak pasaran global. Kurikulum yang dibentuk harus memfokus kepada keperluan dan sumber tempatan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Perkembangan sistem sosial dalam masyarakat memerlukan kurikulum yang berupaya melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berketrampilan dan mempunyai sahsiah terpuji. Kemahiran generik seperti kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan, penyelesaian masalah, kerjasama kumpulan serta nilai-nilai murni perlu diselitkan dalam setiap kurikulum yang dibentuk. Kurikulum PTV memerlukan anjakan paradigma yang boleh mengubah landskap pendidikan negara untuk mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional serta mengubah komposisi modal insan daripada berorientasikan lepasan akademik kepada lepasan aliran vokasional sejajar dengan amalan di negara maju.

Beberapa strategi dan cadangan bagi memperbaiki kesan globalisasi ini adalah seperti menjalankan usaha sama antara pembuat dasar dan kerajaan. Dalam hal ini, kerajaan harus memperkenalkan skim pembiayaan yang mampan bagi pembangunan ekonomi PTV dan meningkatkan pembiayaan kepada sektor ini. Modal dan pembiayaan yang mencukupi dapat membantu usaha para graduasi PTV untuk mengusahakan sendiri skim latihan mereka. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor PTV perlu dilaksanakan bagi  menghadapi kesan globalisasi, di samping melaksanakan pemantauan untuk menilai sistem PTV bagi menjamin, kualiti, dan kesesuaiannya dengan kehendak pasaran. Selain itu, kemahiran generik dalam kurikulum perlu digabungjalinkan dalam melahirkan graduan atau pelatih yang mampu menghadapi kesan globalisasi. Mereka perlu dilatih untuk mengumpul, menganalisis dan menyusun maklumat; menyampaikan idea dan maklumat; merancang dan menganjurkan aktiviti-aktiviti; bekerja dengan orang lain sebagai satu pasukan, menggunakan idea dan teknik matematik bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan serta mampu menggunakan teknologi yang sesuai dengan transformasi dan pembangunan teknologi maklumat. (Bhuwanee, 20005:1) Rangkaian kerjasama yang erat antara majikan dan industri amat perlu dalam aspek penyediaan skim latihan. Selain itu, skim latihan yang diwujudkan perlu bersesuaian dengan  isu-isu seperti keusahawanan, HIV & AIDS, jantina ke dalam program latihan dan aktiviti agar ia dapat dijadikan penanda aras terhadap amalan terbaik dalam TVET nasional, di Afrika dan luar Afrika.

Kesimpulannya, globalisasi memberi implikasi dalam pelaksanaan dasar pendidikan dan kurikulum PTV di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia dan Afrika. Tidak kira di mana pun, pelaksanaan dasar dan kurikulum PTV seharusnya dibentuk untuk memberi akses, ekuiti dan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan, kebolehan, minat dan bakat dalam bidang teknikal, vokasional dan kemahiran secara fleksibel tanpa mengambil kira corak masyarakat agar mereka mampu menghadapi imlikasi globalisasi.


RUJUKAN
Gabriel S. Konayuma. 2007. Globalisation and TVET in Africa: Challenges and Opportunities, Implications of Globalisation for TVET Curriculum Design. Commonwealth Association Of polytechnics In Africa Conference

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...