Sunday, 6 January 2013

ULASAN ARTIKEL 1 Oleh Nur Hidayah Ismail

NUR HIDAYAH ISMAIL   MP 101 426    810408-01-5826


ULASAN ARTIKEL 1
Key Reforms in Revitalising Technical and Vocational Education and Training (TVET) in Malaysia oleh Dr. Pang Chau Leong, Department of Skills Development, Ministry of Human Resources, Malaysia


Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan negara ke arah matlamat menjadi berpendapatan tinggi dan ekonomi maju menjelang 2020. Namun begitu, kurang persediaan modal insan berkemahiran tinggi telah menghalang usaha negara ke arah mencapai negara ber ekonomi berpendapatan tinggi. Dalam konteks ini, Pendidikan Teknik dan Vokasional dan Latihan (TVET) memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk transformasi ekonomi negara.

Merujuk artikel ini, bagi mencapai usaha dan matlamat yang dihasratkan, satu pendekatan bersepadu yang melibatkan program transformasi kerajaan dan ekonomi harus dilaksanakan dengan mempergiat  pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang lengkap untuk menghadapi pasaran global yang berdaya saing. Sejarah telah menunjukkan bahawa, pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia telah melalui transformasi pendidikan yang amat ketara sejak diperkenalkan lewat tahun 1890 apabila sekolah perdagangan ditubuhkan untuk belia tempatan yang bekerja sebagai mekanik di stesen keretapi tempatan.  Namun begitu, sistem pendidikan ini masih banyak lagi kekurangannya dan perlu diperbaiki memandangkan ia perlu disesuaikan dengan tansformasi yang berlaku dalam sistem pembangunan negara iaitu Transformasi Ekonomi Malaysia. Empat teras utama ke arah mentransformasikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi adalah Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), 2011-2015.

Sehubungan itu, sistem PTV di Malaysia telah dibangkitkan dengan pelbagai isu dan beberapa cabaran utama iaitu persepsi miskin dan pengiktirafan TVET sebagai pilihan utama; kepelbagaian peruntukan, pensijilan, standard dan kurikulum; pemantauan dan penilaian yang lemah; kekurangan dalam kecekapan dan kualiti, Permintaan dan bekalan sumber manusia yang tidak sepadan, isu status pendidikan vokasional serta penyertaan kumpulan etnik yang tidak homogen.                                                                                                         (Pang, 2011 dan Zuraidah, 2008)

Berdasarkan isu-isu ini, maka jelaslah bahawa PTV di Malaysia masih banyak kekurangannya. Jika dilihat daripada isu pertama, PTV di Malaysia sering disalah anggap sebagai pendidikan untuk individu yang kurang kelayakan akademik. Keadaan ini dikukuhkan lagi dengan persepsi majikan majikan yang kurang mengiktiraf dan memandang rendah kriteria pensijilan yang dikeluarkan. Ini turut diakui oleh Zuraidah (2008) dalam artikel yang bertajuk TVET in Malaysia pula, di mana Chin (1994) berpendapat pendidikan vokasional lebih bersifat akademik. Collins, (1979) dan Feiberg (1990) pula menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia mengalami nasib yang sama dengen sesetengah negara lain apabila PTV dianggap untuk pelajar yang tidak mahir dalam akademik.

Selain itu, peruntukan PTV di Malaysia dilaksanakan oleh kementerian dan agensi swasta yang berbeza menyebabkan kepelbagaian tahap pensijilan, standard dan kurikulum. Keadaan ini telah mewujudkan ketidak seragaman latihan dan kelayakan, keberkesanan kos, jaminan kualiti, pengiktirafan pembelajaran terdahulu, dan pendidikan lanjutan graduan TVET. Struktur tadbir urus masih kekurangan penyelarasan yang berkesan, berkongsi sumber, dan artikulasi dalam keseluruhan sistem menyebabkan permintaan terhadap bekalan sumber manusia dan tenaga tidak apat menepati kehendak pasaran dan industri.  Walaupun pada asasnya kerangka PTV ini direkabentuk untuk memenuhi permintaan pasaran buruh, namun ia masih kurang diberi penekanan untuk dipadankan antara sistem latihan dengan bidang kerja yang diperlukan. Seharusnya, pihak institusi perlu melihat maklum balas industri terhadap kualiti latihan daripada pelatih yang dibekalkan bagi melihat kekurangan dan memperbaiki kurikulum dan pakej latihan yang dibekalkan. Jika dilihat peruntukan PTV di Malaysia, sebahagian besarnya tertumpu kepada tahap kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2. Hal ini menyebabkan Malaysia masih kekurangan pelatih atau tenaga kerja berkemahiran tinggi. Struktur dana PTV yang tinggi menyebabkan struktur dana tidak dapat menampung kualiti dan prestasi pembekal TVET bagi melahirkan pelatih ke arah tahap kelayakan kemahiran yang lebih tinggi. Selain itu, penyertaan PTV turut mengalami masalah etnik tidak ramai kaum atau etnik yang pelbagai dalam bidang PTV menunjukkan bahawa sistem ini tidak saksama. Bagi mengatasi masalah ini, seharusnya ada kuota diberikan agar penglibatan setiap etnik dalam PTV lebih saksama.

Bagi memperbaiki sistem PTV ini, penulis telah menyatakan bahawa profil dan penerimaan PTV perlu ditingkatkan; rangka kerja dan struktur PTV perlu dirasionalisasi; dan peruntukan latihan kemahiran oleh pihak swasta perlu dinilai semula. Dalam hal ini, penjenamaan semula PTV telah dilancarkan oleh PM Malaysia di bawah Program Transformasi Ekonomi untuk menjadikan PTV sebagai pilihan utama,  lebih menarik bagi pelajar lepasan sekolah dan juga pekerja. Dalam kempen yang lain pula, Timbalan Perdana Menteri telah menekankan prospek kerjaya dan kelebihan kelayakan PTV dalam usaha untuk mengangkat stigma masyarakat terhadap PTV dengan menyediakan maklumat dan mewujudkan kesedaran mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang PTV. Dalam hal ini, kepelbagaian penglibatan kementerian dan agensi dalam sektor PTV telah menyebabkan tahap pensijilan, kualiti dan sistem latihan yang dibekalkan tidak selaras. Struktur PTV yang dirangka untuk pelajar yang kurang kelayakan akademik menyebabkan mereka tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Seharusnya, PTV dirangka agar ia lebih fleksibel dari aspek pembangunan kurikulum, prestasi, perancangan peruntukan dan peruntukan dana yang sesuai dengan semua corak masyarakat tanpa mengira kelayakan akademik mereka dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai tahap IQ yang tinggi. Dengan kewujudan pelbagai institusi yang semakin dinaiktaraf seperti Kolej Vokasional, Kolej Teknikal dan sebagainya, penstrukturan kerangka ini juga harus mengambil kira latihan untuk tenaga pengajar seperti guru agar ia lebih mudah dan setara dilaksanakan serta sepadan dengan kehendak pasaran. Pembangunan dan penstrukturan sistem PTV juga seharusnya lebih dekat dan harmoni dengan industri dari aspek sistem latihan dan reformasi kawalselia, persediaan meningkatkan pembiayaan berasaskan permintaan; menjalankan kempen kesedaran; menjelaskan laluan profesional; meningkatkan bilangan tenaga pengajar yang berkelayakan dan membantu pembekal dalam menarik pelajar asing. Dalam hal ini, satu unit perhubungan perlu ditubuhkan bagi membimbing pembangunan PTV dalam setiap lapangan dan mengkaji semula peraturan-peraturan dan prosedur yang berkaitan dalam uasaha menaiktaraf sistem PTV bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Kesimpulannya, sistem PTV memerlukan transformasi bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan prestasi dalam usaha melengkapkan tenaga kerja industri di negara ini agar mereka menjadi sumber negara yang berprestasi, berkemahiran, berpengetahuan dan mampu menjana ekonomi negara melalui industri dan PTV di samping menjadi pemangkin pembangunan negara.


RUJUKAN
Pang Chau Leong. (2011) Key Reforms in Revitalising Technical and Vocational Education and Training (TVET) in Malaysia. Department of Skills Development, Ministry of Human Resources, Malaysia

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...