Wednesday, 16 January 2013

A Situational Analysis of Labour Market Information and TVET in Botswana




Tajuk jurnal: A Situational Analysis of Labour Market Information and TVET in Botswana
Pengarang: Matthews Phiri and Cornelius Motsisi
Tahun jurnal: 2012
Review oleh: Abdul Rahman Hakimi b. Mohamed  MP111414
Disediakan untuk: Dr. Amirmudin b. Udin

Pendahuluan
Jurnal ini membincangkan tentang analisis pasaran buruh serta latihan pendidikan teknik & vokasional di negara Botswana. Botswana adalah negara kelas ke-3 dan merupakan antara negara yang termiskin di dunia. Di bawah Rancangan Pembangunan Negara (RPN), kerajaan Botswana sentiasa cuba mengubah daripada sebuah negara miskin kepada negara yang membangun dengan pesat dan mempunyai sumber ekonomi yang stabil.

Pengenalan
Rancangan Pembangunan Negara (RPN) bagi Botswana adalah meliputi tempoh bagi setiap 5 tahun. Walaubagaimanapun RPN semasa bagi negara tersebut iaitu yang ke-10 adalah meliputi tempoh 7 tahun (2009-2016). RPN ke-10 ini adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Milenium negara tersebut iaitu bertujuan untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Matlamat utama RPN ke-10 ini adalah untuk menghasilkan sumber manusia kebangsaan yang berupaya untuk menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi dan teknologi inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, penciptaan pekerjaan, pengurangan ketidaksamaan dan melibatkan lebih ramai golongan miskin. Di samping itu, matlamat RPN ke-10 ini menyatakan bahawa matlamat pendidikan, termasuk TVET adalah untuk menyediakan kualiti pendidikan yang saksama.  Kejayaan bagi RPN ke-10 akan ditentukan berdasarkan kepada kadar pengangguran, Indeks Produktiviti Buruh, Indeks Daya Saing, Sumber Manusia Perbelanjaan Pembangunan, dan jumlah graduan yang diserap ke dalam pekerjaan di dalam pasaran buruh.

Pembaharuan dasar dan program
Cabaran bagi Botswana adalah untuk memastikan rakyat mendapat peluang pembelajaran yang sama rata. Di samping itu, Botswana juga menggalakkan rakyat berfikir secara inovatif dan kreatif bagi membantu pembangunan sosioekonomi. Berikut merupakan dasar dan program bagi membangunkan TVET di Botswana.

Strategi Pembangunan Sumber Manusia Kebangsaan
Pelaksanaan strategi pembangunan sumber manusia dan dasar pendidikan tertiari adalah bertujuan untuk memberikan latihan yang terbaik. Selain itu ia juga akan mewujudkan suatu hubungan di antara institusi latihan kemahiran dengan keperluan pasaran buruh. Hubungan ini akan dapat memastikan tenaga kerja yang dilahirkan menepati keperluan pasaran buruh  sekali gus mengurangkan kadar siswazah menganggur. Berikut merupakan visi strategi pembangunan sumber manusia kebangsaan:- “by 2022 it will be universally accepted that the quality, productivity and motivation of its people will be Botswana’s single greatest and most valuable resource”. Visi ini adalah asas dan panduan bagi memastikan pembangunan ekonomi Botswana sekali gus membolehkan ekonomi dan rakyat merealisasikan potensi yang sepenuhnya.

Pemantauan pasaran tenaga kerja
Pihak kerajaan Botswana telah menubuhkan Sistem Maklumat Pasaran Buruh bagi mengenalpasti keperluan tenaga kerja di Botswana. Melalui sistem ini, pihak institusi kemahiran dengan kerjasama kerajaan akan dapat menghasilkan tenaga kerja mengikut keperluan pasaran. Sistem Maklumat Pasaran Buruh ini akan mengumpul maklumat tentang pekerja, agen mencari kerja, majikan, bekalan, permintaan pasaran buruh, berita, ramalan dan unjuran.
Melalui Sistem Maklumat Pasaran Buruh yang ditubuhkan, Jabatan PTV dan Latihan di Kementerian Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran Botswana telah menjalankan kajian pada tahun 1997 dan mendapati bahawa hampir 50% daripada graduan tidak mendapat pekerjaan selepas tamat latihan kemahiran.

Review dan kritik
Jurnal ini membincangkan tentang perkembangan pasaran buruh dan pendidikan teknik & vokasional di Botswana. Berdasarkan kepada jurnal ini, pengarang mengatakan bahawa kadar pengangguran di Botswana adalah terlalu tinggi. Menyebabkan perkembangan ekonomi adalah tidak stabil. Perkara tersebut turut dilaporkan oleh International Monetary Fund (2012), kadar pengangguran yang terlalu tinggi Botswana dan beberapa negara lain di selatan Afrika memberi kesan kepada kerajaan, polisi pekerjaan, dan pendapatan negara. Kadar pengangguran yang tinggi ini adalah disebabkan oleh penghasilan tenaga buruh oleh institusi kemahiran tidak menepati kehendak dan keperluan pasaran.
Penulis jurnal ini turut mengatakan bahawa ketidakstabilan pembangunan polisi kerajaan turut menjadi penyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi Botswana. Menurut International Monetary Fund (2012), polisi kerajaan yang memisah golongan kelas atasan dan bawahan menyebabkan jurang perbezaan di atara 2 kelas tersebut menjadi semakin besar. Masalah ini memberikan kesan yang negatif terhadap pembangunan ekonomi negara. Menurut BFTU (2007), pada kira-kira 25 tahun yang lalu, hanya golongan tertentu sahaja mendapat pendidikan yang formal sehingga ke peringkat tertiari. Kebanyakan rakyat terutama yang berpendapatan rendah hanya mendapat pendidikan sehingga tamat sekolah rendah. Kadar buta huruf pada ketika itu adalah kira-kira 20% hingga 25%. Kesan daripada ketidakstabilan pendidikan tersebut menyebabkan generasi hari ini menghadapi perkembangan ekonomi yang tidak stabil. Menurut BFTU (2007), polisi kerajaan Botswana mula digubal semula pada tahun 1994 dan menetapkan bahawa setiap rakyat Botswana diwajibkan mengambil pendidikan sekurang-kurangnya selama 10 tahun. Selain itu, polisi terbaru bagi memberikan pendidikan teknik dan vokasional (PTV) secara formal di sekolah mula diperkenalkan pada tahun 1997. Setelah polisi PTV ini diwujudkan, pelajar-pelajar yang tamat latihan teknikal terus  diserap masuk ke pasaran buruh sebagai tenaga kerja mahir.
Menurut Daniel T. & Stanslaus T. M. (2009), sebelum tahun 1991 polisi kerajaan Botswana tidak mempunyai rangka kerja (framework) yang baik. Oleh sebab itu, kerajaan Botswana tidak mempunyai panduan yang baik dan sukar untuk melihat keperluan negara terutama dalam sektor ekonomi dan pasaran tenaga buruh. Selain itu, polisi pendidikan yang tidak mantap menyebabkan kadar buta huruf di kalangan rakyat Botswana adalah tinggi manakala graduan daripada institusi kemahiran sukar untuk memasuki pasaran kerja.

Kesimpulan
Perubahan polisi kerajaan adalah perlu dilakukan jika polisi tersebut mempunyai banyak kelemahan dan menghalang perkembangan ekonomi negara. Di samping itu, perubahan bagi polisi kerajaan juga penting bagi memastikan polisi tersebut sentiasa releven dan mengikuti perkembangan semasa.


Rujukan

Botswana Federation Of Trade Unions, BFTU (2007). Policy on education in Botswana.  Retrieved Nov 2012 at http://library.fes.de/pdf-files/bueros/botswana/04922.pdf
Daniel T. & Stanslaus T. M. (2009). Qualifications Frameworks: Implementation and Impact on Botswana. Retrieved Nov 2012 at http://www.ilo.org/wcmsp5/groups/public/@ed_emp/@ifp_skills/documents/genericdocument/wcms_126591.pdf
International Monetary Fund, 2012. Botswana, IMF Country Report No. 12/235. Retrieved Nov 2012 at http://www.imf.org/external/pubs/ft/scr/2012/cr12235.pdf
Matthews P. & Cornelius M. (2012). A Situational Analysis of Labour Market Information and TVET in Botswana. Retrieved Nov 2012 at http://www.iveta.org/members/images/botswanaivetaatlantapaper2012-final.pdf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...