Wednesday, 16 January 2013

The Need In Training And Retraining For TVET Teachers In Malaysia


Tajuk jurnal: The Need In Training And Retraining For TVET Teachers In Malaysia
Pengarang: Mimi Mohaffyza Mohamad, Muhammad Sukri Saud & Adnan Ahmad
Tahun jurnal: 2009
Review oleh: Abdul Rahman Hakimi b. Mohamed  MP111414
Disediakan untuk: Dr. Amirmudin b. Udin


Review

Pada permulaan jurnal ini, penulis membincangkan tentang latar belakang latihan perguruan pendidikan teknik dan vokasional (PTV) di Malaysia. Menurut penulis, pada masa kini terdapat 2 jenis institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bagi menghasilkan guru-guru teknikal. Institusi-institusi tersebut adalah Universiti-Universiti Teknikal dan Institut-Institut Perguruan. Menurut penulis, pada awal tahun 1980-an hanya terdapat sebuah sahaja institusi pengajian yang menawarkan kursus bagi guru teknikal iaitu ‘Technical Teacher’s Training College (TTTC)’. TTTC ini menawarkan kursus-kursus bagi melahirkan guru-guru yang mahir dalam bidang automotif, binaan bangunan, kimpalan logam, elektrik dan elektronik.

Tajuk seterusnya yang dibincangkan oleh penulis adalah berkaitan dengan pembentukan kurikulum PTV. Menurut penulis, kurikulum adalah bermaksud jejak pendidikan. Dengan erti kata yang lain, kurikulum merupakan penjelasan tentang kandungan pengajaran. Kurikulum pendidikan seharusnya merangkumi proses pengajaran, matlamat dan kualifikasi untuk dicapai, kandungan yang perlu dipelajari, kaedah dan bahan-bahan pengajaran, dan kaedah untuk mengukur pencapaian murid. Menurut penulis, keberkesanan sesuatu pengajaran adalah bergantung kepada kurikulum. Keberkesanan pengajaran tersebut boleh diukur berdasarkan kepada beberapa kriteria iaitu:-

  1. Mampu melahirkan generasi muda yang akan memenuhi keperluan pasaran kerja akan datang.
  2. Mampu menyampaikan bukan sekadar kandungan ilmu-ilmu teknikal, tetapi turut membantu pelajar-pelajar untuk menghadapi pelbagai cabaran serta menyediakan pelajar-pelajar yang mampu untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat.
  3. Mampu untuk menyediakan pelajar-pelajar dengan latihan kemahiran yang mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja.


Penulis jurnal ini mengatakan bahawa guru-guru PTV di Malaysia perlu meningkatkan kemahiran mengajar PTV dengan cara menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh institusi pengajian PTV. Dengan ini, kualiti PTV di sekolah-sekolah teknik akan dapat ditingkatkan. Apabila guru-guru PTV meningkatkan kemahiran mengajar, guru-guru tersebut akan lebih bersedia untuk bekerja dan mereka juga akan dapat membaiki kualiti kemahiran mengajar. 

Penulis berpendapat bahawa sebab utama yang memerlukan guru-guru PTV di Malaysia meningkatkan kemahiran mengajar adalah kerana pada tahun 2006, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan kurikulum penilaian pelajar yang terbaru. Melalui kurikulum ini, para pelajar akan dinilai berdasarkan kepada latihan kemahiran yang dilakukan oleh mereka. Dengan erti kata lain, penilaian ini bukan dilakukan berdasarkan peperiksaan. Kurikulum baru ini adalah bertujuan untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang menepati permintaan pasaran kerja, jelas dengan perjalanan kerja, dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Seterusnya, penulis membincangkan tentang rekabentuk program bagi meningkatkan kemahiran mengajar di kalangan guru PTV. Penulis berpendapat bahawa rekabentuk program ini haruslah ke arah bercirikan pembelajaran dewasa. Selain itu, penulis juga berpendapat bahawa beberapa syarikat perindustrian perlu terlibat di dalam merangka rekabentuk program pendidikan tersebut. Pedagogi pendidikan perlu diubah supaya pengajaran PTV lebih berpusatkan pelajar. Hal ini adalah kerana guru-guru PTV masih lagi mengajar PTV dengan menggunakan kaedah pengajaran tradisional kerana mereka tidak terdedah kepada kaedah pengajaran yang terkini. Terdapat 4 kaedah yang sesuai digunakan di dalam proses pengajaran PTV iaitu:
1.      Pembelajaran berasaskan masalah
  1. Pembelajaran berasaskan masalah akan membantu pelajar-pelajar menjadi lebih baik di dalam menyelesaikan masalah. Di dalam proses menyelesaikan masalah, para pelajar akan bekerjasama, berfikir secara kritikal, dan belajar secara kendiri.
  2. Pembelajaran berasaskan kerja
  3. Kaedah ini dapat menggantikan pembelajaran di bilik darjah. Melalui kaedah ini, para pelajar akan belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat kerja. Ciri-ciri kaedah adalah pengetahuan dan kemahiran yang hampir seperti keadaan kerja sebenar.
  4. Pembelajaran berasaskan projek
  5.  Melalui kaedah ini, guru akan memberikan para pelajar suatu projek masalah yang sebenar dan memerlukan para pelajar menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan kepada situasi kerja yang sebenar.
  6.  Pembelajaran berasaskan teknologi ICT
  7.   Kaedah ini memerlukan para pelajar untuk belajar secara di atas talian (online-conference).



Kritik

Pada permulaan artikel ini, penulis menyentuh sedikit tentang sejarah institusi yang menawarkan latihan perguruan bagi PTV. Walaubagaimanapun, penulis tidak menyentuh tentang pernyataan masalah iaitu sebab-sebab mengapa penulis tertarik untuk membuat jurnal berkenaan. Menurut John W. C. (2008), setiap kajian perlu dimulakan dengan pernyataan masalah kerana pernyataan masalah merupakan asas dan fokus kepada sesuatu kajian. Pernyataan masalah perlu dihuraikan dengan jelas supaya kajian yang dilakukan tidak mudah terpesong dari landasan sebenar. Menurut Peter H. & Candy S. (2007), pernyataan masalah di dalam kajian sains sosial perlu mengandungi 4 perkara iaitu tujuan utama kajian, hubungan di antara pembolehubah, fokus kajian, dan kelebihan yang akan diperolehi daripada hasil kajian tersebut. Oleh itu, sejarah ringkas tentang PTV di Malaysia adalah tidak begitu praktikal kerana berdasarkan tajuk jurnal ini, penulis ingin mengkaji tentang keperluan guru-guru PTV untuk melanjutkan pelajaran. Penulis seharusnya menghuraikan tentang masalah-masalah yang timbul yang memerlukan guru-guru PTV untuk melanjutkan pelajaran.

Tidak dinafikan bahawa menuntut ilmu adalah suatu perkara yang baik dan dituntut oleh semua agama di dunia ini. Dengan menuntut ilmu, seseorang akan dapat meningkatkan pengetahuan dan prestasi kerja. Penulis mengatakan bahawa guru-guru PTV sangat perlu meningkatkan prestasi kaedah pengajaran PTV. Hal ini adalah kerana kurikulum baru yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2006 memerlukan guru-guru menggunakan kaedah pengajaran bercirikan dewasa. Persoalannya di sini adakah kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru-guru PTV sudah tidak relevan? Adakah guru-guru PTV tidak tahu menggunakan kaedah pengajaran bercirikan dewasa? Penulis seharusnya tidak boleh mengeluarkan kenyataan tanpa bukti-bukti yang kukuh. Menurut Lennie I. (2010), setiap penulisan akademik perlu mempunyai rujukan untuk mengesahkan kebenaran sesuatu fakta. Sekiranya sesuatu fakta tidak disertai dengan rujukan atau bukti, fakta tersebut adalah sukar untuk ditentukan tentang kebenarannya. Di dalam kes ini, walaupun cadangan penulis supaya guru-guru PTV melanjutkan pelajaran adalah suatu perkara yang baik, tetapi penulis seharusnya tidak boleh menuduh guru-guru PTV tidak mahir mengajar PTV dengan menggunakan kaedah pengajaran bercirikan dewasa. Sekiranya perkara tersebut adalah benar, penulis perlu mengemukan rujukan atau kajian tentang fakta tersebut.

Menurut penulis, terdapat 4 kaedah yang terbaik di dalam proses pembelajaran dan pengajaran PTV. Kaedah-kaedah tersebut telah dibincangkan di atas. Walaupun kaedah-kaedah tersebut boleh digunakan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran PTV, tetapi kaedah-kaedah tersebut tidak boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik. Hal ini adalah kerana pemilihan kaedah pengajaran adalah bergantung kepada kesesuaian topik pengajaran. Menurut Bruce J. & Marsha W. (1996), terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Setiap kaedah tersebut boleh digunakan bergantung kepada kesesuaian topik pengajaran. Kaedah-kaedah ini boleh digabungkan untuk membentuk suatu kaedah pengajaran yang baru. Menurut Keith W. W. (2010), guru-guru perlu memilih kaedah pengajaran yang terbaik untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar. Pemilihan kaedah pengajaran adalah bergantung kepada beberapa faktor iaitu faktor pelajar, etnik, budaya, jantina pelajar, bahan bantu mengajar yang digunakan, topik dan objektif pengajaran, dan tempoh pengajaran. Oleh itu, penulis tidak seharusnya mengatakan bahawa hanya terdapat 4 kaedah pengajaran yang sesuai untuk pengajaran PTV.


Kesimpulan
Jurnal ini adalah baik kerana ia menggalakkan guru-guru untuk melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan lagi prestasi pengajaran PTV. Walaubagaimanapun jurnal ini mempunyai sedikit kelemahan kerana penulis tidak menjelaskan faktor-faktor utama yang mengharuskan guru-guru PTV melanjutkan pelajaran tersebut. Penulis juga perlu membuktikan bahawa guru-guru PTV tidak mengajar para pelajar dengan menggunakan kaedah bercirikan dewasa. Tambahan pula, penulis juga perlu menghuraikan tentang kelebihan yang akan diperolehi jika guru-guru PTV menggunakan kaedah pengajaran bercirikan dewasa.



Rujukan

Mimi M. , Sukri S., & Adnan A. (2009). The need in training and retraining for TVET teachers in Malaysia. Journal of Technical Education and Training, 1 (1). pp. 51-57. ISSN 1985-9732. Retrieved Nov 2012 at http://eprints.uthm.edu.my/553/1/JTET_Vol1_F5.pdf
Menurut John W. C. (2008). Educational Research. Planning, Conducting and Evaluating Quantitative and Qualitative research. Pearson International Edition, New Jersey.
Peter H. & Candy S. (2007). What is a problem statement?. Library & Information Science Research 29 (2007) 307–309. Retrieved Dec 2012 at http://www.lis-editors.org/bm~doc/editorial-problem-statement.pdf
Lennie I. (2010). Writing Spaces: Readings on Writing. Volume 1- What Is “Academic” Writing?. Retrieved Dec 2012 at http://wac.colostate.edu/books/writingspaces1/irvin--what-is-academic-writing.pdf
Bruce J. & Marsha W. (1996). Models of teaching. Allyn & Bacon publication, USA.
Keith W. W. (2010). Best teaching method. The Stars Online. Retrieved Dec 2012 at http://thestar.com.my/education/story.asp?file=/2010/3/28/education/5702040

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...